Sunday, 9 December 2012

Epilog


eNovel Tajuk: Duabelas, Duabelas, Duabelas.

epilog;

"Kita semua beruntung sangat-sangat! Sebab kita semua masih bernyawa. Tetapi adakah kita semua ingat dan bersyukur? Allah telah meminjamkan kita kesemuanya yang kita miliki, zahir dan batin.
Pandanglah! Lihatlah dalam diri kita sendiri, di sekeliling kita, keluarga kita, adakah kita telah tunaikan tanggungjawab kita sebaik-baiknya? Adakah kita menzalimi diri kita sendiri? Na 'Auzubillahiminzalib! Masih ramai lagi saudara-saudara, kita masih leka! Masih alpa. Cuba saudara-saudara berfikir sejenak, bermuhasabah diri. Berbaring dan pandanglah ke alang. Atau dongaklah ke langit yang luas terbentang! Renunglah dan kajilah saudara-saudaraku. Begitu juga peringatan ini saya tujukan kepada diri saya sendiri."

Ustaz muda itu mulai menitiskan air matanya. Dia juga seorang manusia biasa yang tidak lepas daripada melakukan dosa.
Lalu dia meneguk seteguk air putih yang tersedia di hadapannya.
kemudian ustaz muda itu menyambung kembali kuliahnya, dengan nada yang lebih lembut dengan ucapan yang jelas satu persatu.

"Pernahkah saudara semua bertanya pada diri betapa ajaibnya kita ini yang dijadikan boleh berkata-kata, samada dilontarkan atau dengan hanya berniat di dalam hati. Adakah saudara-saudara semua tidak berasa hairan, kenapa fikiran kita berbeza-beza nafsu dan pendapat?
Adakah saudara pernah terfikir, bagaimanakah jikalau kita mati satu hari nanti, atau sekejap lagi, sedangkan kita sedang berangan-angan dan berniat-niat sesuatu. semua orang tidak tahu, hanya kita dan Allah."

Air mata Ustaz muda itu semakin laju menitis berjatuhan membasahi jubahnya. Diusapnya perlahan dengan hujung sarbannya yang terjuntai di bahu.

"Jika kita belum bertaubat, maka marilah kita bersyukur kepada Allah kerana masih memberi peluang untuk kita bertaubat, masih diberikan hari untuk kita mempertingkatkan lagi amalan. Pada hari yang bersejarah di dalam abad ini dan kita tidak akan bertemu lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Tidak akan kita temuinya lagi seperti bulan-bulan yang mulia dan hari-hari mulia yang lain. Kita semua menggunakah kalendar masihi bukan kalendar Islam, tidak apa, kita ambillah tarikh yang sangat bersejarah ini untuk memperbaiki akidah kita. Mencerminkan diri kita, mencari kelemahan diri kita dan memperbaiki diri kita di saat ini juga. Mengapa kita perlu berubah pada tarikh ini? Tidak, kita bukan taksub dengan tarikh ini, tetapi kerana kita insafkan diri kita yang selama ini tidak pernah sedar tarikh-tarikh Islam dan bulan-bulan baik dalam Islam, kita abaikan, kita tinggalkan, maka tidak salah jika kita merenung sejenak, di tarikh ini, adalah tarikh yang ganjil dalam tahun-tahun yang telah kita tinggalkan. Semua orang mengingati tarikh ini dan berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu pada tarikh ini. Kita masih boleh bermuhasabah diri dengan tarikh ini. Betapa besarnya erti satu tarikh ini"

Ucapan daripada Ustaz muda tadi itu menimbulkan pelbagai tanggapan negatif. Ada jemaah yang mencebik bibirnya, ada yang tunduk dan menghayatinya. Ada yang mengangguk-ngangguk tanda setuju. Ustaz muda itu menyambung kuliahnya lagi.

"Marilah kita berubah saudara-saudara. Marilah kita sama-sama menghayati kelebihan dan masa yang Allah pinjamkan buat kita. Bimbinglah keluarga kita mulai sekarang. sesungguhnya zaman ini sudah terlalu tua. Ramai orang masih memikirkan sesuatu untuk melakarkan sejarah pada tarikh ini. Tetapi, lebih baiklah sekiranya kita mencipta sendiri sejarah perubahan yang drastik dalam diri kita sempena duabelas, duabelas, duabelas ini. Sekianlah sahaja saya sudahi dengan kalimah Wabillahi Taufiq walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh"